Tuesday, December 28, 2010

Mohd. Isa berazam bela nasib peneroka Felda

SEREMBAN 27 Dis. - Pengerusi Felda yang baru, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad (gambar) berazam menjalankan tugas yang diamanahkan kepada beliau sebaik mungkin untuk terus membela masyarakat peneroka di negara ini.
Sambil mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau berkata, hubungannya dengan masyarakat peneroka Felda bukan sesuatu yang asing terutama semasa menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan sebelum ini.

"Pelantikan ini merupakan satu kepercayaan Perdana Menteri kepada saya untuk menerajui Felda dan saya akan melaksanakan dasar-dasar bagi memastikan masyarakat peneroka terus dibela.
"Di Negeri Sembilan terdapat 50 tanah rancangan Felda, jadi saya tidak asing lagi di kalangan warga Felda terutama ketika saya Menteri Besar dan juga Ahli Parlimen Jempol sebelum ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Pejabat Perdana Menteri hari ini mengumumkan pelantikan Mohd. Isa sebagai Pengerusi Felda yang baru berkuat kuasa 1 Januari ini bagi menggantikan Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor.
Mohd. Isa yang menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun dari 1982 hingga 2004, merupakan bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan bekas Naib Presiden UMNO.
Beliau merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang dalam kawasan Parlimen Teluk Kemang, Negeri Sembilan.
Ditanya mengenai hala tuju Felda apabila beliau menerajuinya nanti, Mohd. Isa menjelaskan, beliau akan memberi tumpuan untuk menjayakan matlamat badan berkenaan.
"Saya tiada impian peribadi, cuma saya mahu mencapai apa yang dimatlamatkan oleh kerajaan ketika menubuhkan Felda.
"Malah saya juga akan menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaik mungkin," katanya.

No comments:

Post a Comment