Setiap 7hb Julai seluruh warga Felda akan menyambut dan mengingatinya sebagai hari peneroka.Ini adalah satu pengiktirafan pada seluruh warga Felda yang dulunya dianggap sebagai golongan bawahan atau low class kerana tinggal di kawasan pedalaman yang dikelilingi hutan dan rimba.
Sebelum tertubuhnya Felda kaum Melayu ketika itu majoritinya tinggal di
kawasan kampung sementara kaum Cina mendominasi kawasan Pekan atau
bandar dan kaum India pula memonopoli kawasan estet.Selepas negara
mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, kerajaan mengambil satu langkah
berani dengan memohon pinjaman sebanyak rm 250 juta ketika itu daripada
bank dunia semata-mata ingin membela dan menjadikan nasib bangsa melayu
lebih terjamin.Pinjaman tersebut telah berjaya diselesaikan pada tahun
2000 lebih awal dari yang sepatutnya iaitu pada tahun 2013.
Kerajaan turut mengeluarkan budget tambahan menjadikan jumlah
keseluruhannya pembukaan tanah rancangan Felda di Jengka mencecah
kira-kira rm 347 juta.Segalanya dilakukan semata-mata ingin membantu
rakyat untuk keluar dari kepompong kemiskinan.Ketika itu siapa saja
orang Melayu yang ingin merubah nasib dan berminat untuk tinggal di
tanah rancangan ini akan dibawa masuk tanpa mengira siapapun mereka.
Kalaulah hati manusia boleh dicabut dan dilonggokkan di atas meja pasti
ketika itu mereka tahu siapa yang datang untuk menjadi pengkhianat
kepada bangsa mereka sendiri dan kalaulah boleh di Scan atau tertulis
pada perut ibunya bahawa anak yang bakal dilahirkan oleh warga Felda itu
bakal menjadi pengkhianat dan penghasut kepada bangsanya sendiri,
adalah lebih baik anak tersebut dilahirkan di tempat lain tetapi Allah
tidak menjadikan kita sebegitu kerana Allah kurniakan kita akal untuk
berfikir dan untuk digunakan dengan sebaiknya.
Bukan kekayaan yang dikejar, bukan kemewahan yang diharapkan tetapi
cukuplah sekadar hidup yang lebih terjamin dan disediakan rumah yang
lebih selesa walau hanya satu bilik, itulah secebis harapan yang
tertanam di dalam sanubari setiap dari mereka yang berhijrah ke bumi
bertuah ini. Dalam ribuan yang mengharapkan sesuatu yang belum pasti
menjanjikan kesenangan, terselit kelibat abah bersama ibuku
sebagai pasangan yang bakal bergelar warga Felda.
Kawasan
rumah yang dipenuhi semak samun ditebas satu persatu hingga menjadikan
persekitaran tempat tinggal kami mula bersih.Dalam serba kepayahan ibuku
tetap sabar melayan kerenahku yang sentiasa mahu didukung sementara
abah bertungkus lumus mengerah kudrat yang ada demi ingin melihat kami
hidup selesa.Pokok buah-buahan ditanam disekeliling rumah untuk dimakan
oleh kami sekeluarga serta dikongsi bersama jiran yang lain.Walau tiada
bekalan elektrik, pelita minyak tanah sudah memadai untuk menerangi
kegelapan malam dan seterusnya kami beralih pada lampu 'gasoline' yang
lebih terang.
Apabila set 'generator' diperkenalkan barulah kami mengenali rupa sebuah
televisyen meskipun tiada warna itupun hanya mereka yang mampu sahaja
yang memilikinya.Bekalan utama air adalah dari perigi yang digali
sendiri dibelakang rumah atau sumber dari air sungai yang terdekat.
Mengangkut air dari perigi sejauh kira-kira 100 meter jaraknya dari
rumah merupakan rutin biasa bagi kami ketika itu.Berkongsi mandi bersama
jiran bukanlah sesuatu yang asing pada kami malah ia menambahkan lagi
semangat kejiranan sesama kami.Namun lama kelamaan perigi ini semakin
pupus dan lebih malang lagi semangat kejiranan juga semakin luntur
bagaikan ikut sama tenggelam ke dalam perigi yang terkambus.
Pendapatan peneroka ketika itu tidak semewah sepertimana yang peneroka perolehi hari ini. Kantin atau kedai koperasi yang disediakan sedikit membantu apabila mereka menyediakan segala barang keperluan yang boleh diambil dahulu sebelum gaji peneroka ditolak kemudiannya.Setelah dihitung dan ditolak hutang tersebut baki yang tinggal ada kalanya hanya rm 10 tetapi kami masih mampu bertahan.Aku sebagai anak walau masih kecil tapi sudah memahami kesusahan serta keperitan hidup ketika itu.Kerana itu tiada istilah memilih pakaian berjenama atau makanan yang sedap-sedap kerana bagi kami apa saja yang ada, itulah yang kami pakai dan itulah yang kami makan walau hanya nasi bersama kuah.
Itu hanya secebis kisah dari perjalanan hidup seorang yang bergelar anak
kepada peneroka Felda walau aku tidak lagi tinggal di sana.Kini warga
Felda sudah jauh berubah.Rumah yang dulunya kayu yang semakin reput kini
berganti dinding batu yang kukuh bersama beberapa buah bilik malah ada
juga yang sudah bergelar jutawan.Jika dulu ramai yang malu untuk mengaku
sebagai anak Felda tapi kini status sebagai anak Felda tidak lagi
dianggap sesuatu yang memalukan.Felda bukan lagi dianggap 'low class'
tetapi telah menjelma menjadi sasaran dan impian manusia yang tamak
untuk merebutnya, manusia yang tidak pernah melalui detik-detik
kepayahan sebagaimana yang pernah kami lalui.
Jika dahulu tiada siapa yang peduli walau duit gaji hanya berbaki rm10
tetapi ramai yang mula iri hati setelah gaji yang diperolehi kini
berbaki rm3 ribu hinggah rm5 ribu.Jika dahulu tiada siapa yang ingin
berjuang dan membantu kami dalam menempuh kepayahan dan keperitan hidup,
kini mereka tampil kononnya untuk menjadi pejuang...berjuang atau ingin
merebut peluang?.Lebih malang lagi apabila ramai yang sudah lupa untuk
mengucapkan syukur Alhamdulillah walau sentiasa berjubah dan berkopiah.
Beringatlah...Jangan sampai hikayat lebai malang kembali
berulang...jangan sampai menang sorak tanah sejengkal tergadai.
Di zaman kanak-kanak kami semua bersatu sebagai sebuah masyarakat yang
hidup bantu membantu serta bertegur sapa antara satu sama lain tapi kini
setelah racun dan api kebencian mula meresap, warga Felda semakin
berpecah.Tidak perlu dinafikan bahawa ramai anak-anak peneroka Felda
yang berjaya dalam kehidupan mereka.Carilah di mana-mana syarikat
gergasi ataupun bertaraf antarabangsa pasti kita akan terjumpa anak
peneroka felda terselit di sana dengan menjawat jawatan yang tinggi atau
cari saja dikalangan peniaga yang berjaya pasti ada diantara mereka
yang bergelar anak peneroka Felda. Begitu juga ahli politik.
Malangnya ramai antara mereka yang bukan hanya menanam serta menyemai
api kebencian malah meniup api tersebut ke seluruh pelusuk tanah Felda
demi kepentingan mereka sendiri.Mereka lupa pada asal usul mereka dan
mereka lupa pada orang yang pernah membantu ibu dan ayah mereka suatu
ketika dahulu.Tidak dinafikan juga bahawa pasti ada segelintir pegawai
yang bertugas di dalam institusi Felda yang menyeleweng dan tidak amanah
dalam menjalankan tugas dan mereka ini memang patut dihukum tetapi
adalah tidak wajar hanya kerana mereka seluruh warga Felda ingin
dimusnahkan.
Biar apapun niat dan tujuan kita, walau apapun fahaman kita dan walau
apa saja hasrat kita,kita tetap bergelar anak peneroka Felda. Ingatlah pada keringat ibu dan ayah yang bukan
sedikit tumpah di bumi bertuah ini sebelum kita mencapai apa yang kita
perolehi hari ini dan jangan biarkan mereka yang tidak pernah merasai
kesejukan air perigi di tanah Felda dan tidak pernah terpijak duri
semalu di bumi Felda merampasnya dengan mudah hanya dengan percikan air
liur.
No comments:
Post a Comment