Monday, May 23, 2011

SIAPA TAK FAHAM ISTILAH INFLASI?



Kawan terpanggil untuk mengulas isu pengurangan subsidi ke atas barangan tertentu seperti petrol RON95 dan barangan keperluan asas lain seperti gas memasak, gula dan tepung gandum. 

Sejak diumumkan bahawa nilai subsidi yang dibelanjakan tahun ini meningkat 100% kepada RM20.58 bilion berbanding tahun lepas dan kerajaan tidak boleh menampung keseluruhan subsidi itu terlalu lama, PR dengan tidak berlengah lagi terus membelasah kerajaan tanpa henti kononnya, kerajaan tidak mengambilkira kesusahan rakyat yang terhimpit dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

Memanglah isu pengurangan subsidi ini bakal menyebabkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan. Bagaimanapun, untuk PR menuduh kerajaan sengaja hendak menambahkan kesengsaraan rakyat adalah tuduhan yang melampau. Ini kerana Timbalan Perdana Menteri (TPM), Tan Sri Muhyidin Yasin telah memberi jaminan bahawa kerajaan tetap akan memastikan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan tidak terlalu membebankan rakyat.

Pada kawan, kenaikan harga barangan dan perkhidmatan memang tak boleh dielak. Kawan bawakan analogi berikut. Pada era 1950an, harga sebungkus nasi lemak adalah di sekitar 5 sen. Tahun 1970an, sebungkus nasi lemak berharga sekitar 20 sen sebungkus dan ianya meningkat kepada 50 sen pada hujung 1980an dan sekarang, pada tahun 2011, harga sebungkus nasi lemak sudahpun mencecah minimum RM1 sebungkus. 

Begitu juga dengan harga akhbar. Pada tahun 1985, kawan membeli akhbar pada harga 35 sen senaskah. Sejak itu, harga akhbar terus meningkat sehingga mencecah RM1.50 sekarang pada hari biasa dan RM2 pada hari minggu.

Mengapakah ini terjadi? Itulah yang dinamakan sebagai INFLASI. Bagi yang tidak faham istilah inflasi, ia dimaksudkan sebagai kenaikan harga barangan dan perkhidmatan dalam sesuatu tempoh masa. Dua contoh yang kawan sebutkan di atas adalah contoh yang paling mudah bagaimana inflasi memainkan peranan penting dalam kehidupan kita.

Punca berlaku inflasi ada dua. Pertama, disebabkan pertambahan permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan disebabkan peningkatan perbelanjaan baik dari individu, sektor awam mahupun swasta. Contohnya, kenaikan harga topeng muka semasa krisis virus H1N1 tidak lama dulu. Permintaan yang naik secara mendadak menyebabkan topeng muka yang biasanya dijual pada harga di bawah RM1 sekeping, telah dijual sehingga ke paras RM5 sekeping.

Faktor kedua dipanggil "tolakan kos". Tolakan kos berlaku apabila berlaku kenaikan kos terhadap bahan mentah yang digunakan untuk menghasilkan sesuatu produk. Dalam contoh akhbar di atas, harga kertas dan dakwat yang terus meningkat dari semasa ke semasa adalah faktor pendorong utama kepada kenaikan harga akhbar. 

Dalam contoh nasi lemak pula, kenaikan harganya adalah disebabkan oleh kenaikan harga beras, santan, lada, telur dan ikan bilis yang menjadi bahan utama penghasilan nasi lemak menjadi punca kepada kenaikan harganya.

Kebanyakan sebab inflasi yang berlaku di negara ini adalah disebabkan oleh faktor tolakan kos. Ada juga inflasi yang diimpot. Contoh yang paling senang difahami ialah petrol. Walaupun Malaysia mengeluarkan petrol sendiri, tetapi ianya tidak cukup untuk kegunaan domestik menyebabkan negara terpaksa mengimpotnya dari negara pengeluar yang lain. Dan kerana itu, Malaysia terdedah kepada risiko peningkatan harga minyak di pasaran dunia. 

Fikirkan ini, harga sebotol air mineral 1.5 liter berharga RM2.20. Ini bermakna, harga seliter air mineral ialah di sekitar RM1.47 manakala harga seliter RON95 ialah RM1.90. Secara logik, kos pengeluaran manakah yang lebih tinggi, air mineral ataupun petrol? Jawapannya tentulah petrol. Sepatutnya, harga seliter petrol boleh mencecah sehingga RM2.60-RM2.80 seliter dalam keadaan sekarang. Cuba lihat berapa banyakkah perbelanjaan yang perlu ditanggung oleh kerajaan bagi memastikan harga RON95 kekal pada harga sekarang?

PR asyik membangkitkan perihal mengurangkan bayaran subsidi sebanyak RM19 bilion yang dibayar kepada penjana kuasa bebas (IPP) yang mana penjimatannya boleh digunakan untuk menyerap kenaikan harga petrol. Bercakap memang mudah.  Bukankah ada kontrak di antara IPP dan Tenaga Nasional yang perlu dipatuhi? Untuk meminda kontrak yang telah ditandatangani, memerlukan kerajaan membayar pampasan bernilai berbilion RM kepada IPP  ini.

Dan cuba tanyakan pula kepada Anwar Ibrahim, pada zaman Menteri Kewangan manakah kebanyakan perjanjian IPP ini ditandatangani? Dan sekarang, dia pula cuba menjadi juara rakyat dalam menangani masalah subsidi IPP ini.

Kesimpulannya, walau bagaimana pun kita cuba mengelak, kenaikan harga barang dan perkhidmatan ini tetap akan berlaku. Kita kena bersedia untuk menerima hakikat inflasi. Jika sudah tahu keadaan sedemikian, kita kenalah bersedia. Mungkin kita perlu mengubah sedikit gaya hidup kita (lifestyle) bagi disesuaikan dengan pendapatan kita. Tidak ramai yang sedia berkorban sedikit kesenangan demi memastikan kelangsungan hidup kita.

Kesimpulannya, "tepuk poket, tanyalah hati"....   

No comments:

Post a Comment