Sunday, January 9, 2011

BN Sedang Gali Kubur Sendiri Ke ?


Sebaik sahaja kita melangkah masuk ke tahun 2011 saya sudah bertekad tidak akan lagi menulis perkara-perkara yang mengkritik kerajaan di blog ini. Saya berpendapat sudah cukup apa yang saya dilakukan selama dua tahun yang lepas. Ini kerana saya berpandangan pada tahun 2011 kita sudah menghampiri zon pilihanraya, maka tidak sesuai lagi untuk saya mengkritik kerajaan pada zon begini.

Itu janji saya kepada diri saya sendiri. Tetapi hari ini saya terpaksa mungkir kepada janji tersebut. Hari ini saya tanya diri saya sendiri, kenapa aku perlu susah- susah fikir pasal kerajaan dan BN sedangkan mereka tidak susah hati pun untuk menghadapi pru 13.

Buktinya, banyak tindakan-tindakan yang mereka buat sekarang yang membangkitkan kemarahan rakyat kepada BN. Banyak tindakan yang mereka buat ibarat sedang menggali kubur sendiri dalam pru 13 kelak.

Isu saman ekor tak selesai lagi, timbul pula isu kenaikan harga minyak dan barang. Itu tidak selesai lagi, hari ini timbul pula pasal kuasa JPJ.

Sekarang ini, anda pergilah ke mana-mana sekali pun di setiap ceruk bumi Malaysia ini semua orang sedang bercakap pasal harga barang naik. Saya tahu dalam bab ini kita tak boleh salahkan kerajaan 100 % kerana bukan semua barang yang dijual di kedai ada subsidi kerajaan. Tetapi penjelasan itu penting. Selagi kita tak jelaskan dengan baik kepada rakyat maka selagi itulah rakyat bercakap pasal perkara itu. Hasilnya terimalah padah dalam peti undi kelak.

Suka tidak suka kita semua kena akui dan kita kena terima hakikat bahawa sokongan terhadap BN di peringkat rakyat bawahan sekarang ini merosot. Seorang kawan yang tinggal di sebuah taman perumahan di Puchong memberitahu saya, dulu ada 10 orang jiran-jiran keliling dia yang sokong BN. Sekarang ini katanya tinggal dua orang sahaja. Yang dua orang itu, dirinya sendiri dan seorang lagi kakitangan kerajaan.

Seorang lagi kawan berkata, jatuhnya Pak Lah kerana tingkat empat, mungkin jatuhnya Najib kelak kerana PEMANDU yang dipandu oleh Idris Jala.

Itulah suara rakyat yang sedang kedengaran di bawah sekarang.

Hari ini muncul pula masalah baru, iaitu kuasa JPJ diperluas.

Ini satu lagi bala yang datang membuatkan ramai wakil-wakil rakyat, ketua-ketua bahagian, penyelia dun atau parlimen yang akan berpeluh sampai ke seluar dalam. Dulu mereka sudah berpeluh sekejap pasal kereta lama perlu menjalani pemeriksaan di Puspakom. Rilek sekejap dan peluh baru kering, muncul pula isu saman ekor, selepas itu muncul pula isu kenaikan harga barang dan sekarang muncul pula isu ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan,
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan lalu lintas di semua jenis jalan termasuk jalan kampung dan kawasan perumahan.

Timbalan Ketua Pengarahnya, Datuk Ismail Ahmad berkata, ia berikutan pindaan Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang telah diluluskan oleh Dewan Negara, 22 Disember lalu.

Katanya, penguatkuasaan itu akan dilakukan dalam masa terdekat.

Menurutnya, sebelum ini, tumpuan JPJ hanya di lebuh raya, jalan Persekutuan, jalan negeri dan jalan perbandaran.

"Namun kini mereka yang menggunakan jalan seperti di ladang, kebun, kampung serta kawasan perumahan juga tidak akan terlepas, sekiranya melakukan kesalahan.
Habislah orang-orang kampung selepas ini, habislah peneroka-peneroka Felda, habislah pak haji-haji yang naik motor nak ke masjid selepas ini. Habislah petani-petani di kampung. Habis apa ? habis duit nak bayar saman dan habis sudahlah undi mereka kepada BN dalam pru akan datang.
Kita tahu dan kita faham, setiap orang yang hidup atau yang mati yang berada di setiap inci bumi di negara ini perlu patuh kepada peraturan dan undang-undang.
Orang mati pun ada peraturan juga ke ? Adaaaaaaaaa, sebelum tanam mayat perlu dapat permit mengubur terlebih dahulu dan perlu lapor kematian kepada JPN.
Kita nak tanya balik kepada kerajaan, setiap hari berpuluh orang mati atas jalan raya kerana kemalangan. Dalam puluhan orang yang mati itu kebanyakannya dimanakah kemalangan itu berlaku. Di kampung, Felda, di taman perumahan, di ladang ?

Tidak, semua itu tidak. Penyumbang utama kepada kemalangan adalah di jalan raya perbandaran, persekutuan dan lebuh raya.

Sepatutnya itu yang perlu diberi keutamaan terlebih dahulu, bukannya di kampung-kampung atau di ladang dan di taman perumahan.

No comments:

Post a Comment